31.7.11

Marhaban Yaa Ramadhan

Puasa Ramadhan adalah rukun keempat dalam Islam. Firman Allah Ta'ala: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan asas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183).

1. Dari Abu Hurairah r.a.: Adalah Rasulullah s.a.w. memberi khabar gembira kepada para sahabatnya dengan bersabda, "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkahi. Allah mewajibkan kepadamu puasa didalamnya; pada bulan ini pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat; juga terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barangsiapa tidak memperoleh kebaikannya maka dia tidak memperoleh apa-apa." (HR. Ahmad dan An-Nasa'i)

2. Dari Ubadah bin AshShamit, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkahan, AIlah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan do'a. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu. Kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmatAllah di bulan ini." (HR. Ath-Thabrani, dan para periwayatnya terpercaya).

Firman Allah Ta'ala: “(Beberapa hari yang ditentukan itu adalah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu. Dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan lalu ia berbuka) maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah: 185).

Syarat sahnya puasa.

Syarat-syarat sahnya puasa ada enam:

a. Islam: tidak sah puasa orang kafir sebelum masuk Islam.
b. Akal: tidak sah puasa orang gila sampai kembali berakal.
c. Tamyiz: tidak sah puasa anak kecil sebelum dapat membezakan (yang baik dengan yang buruk).
d. Tidak haid: tidak sah puasa wanita haid, sebelum berhenti haidnya.
e. Tidak nifas: tidak sah puasa wanita nifas, sebelum suci dari nifas.
f. Niat: dari malam hari untuk setiap hari dalam puasa wajib.

Hal ini didasarkan pada sabda Rasulullah s.a.w.: "Barangsiapa yang tidak berniat puasa pada malam hari sebelum fajar, maka tidak sah puasanya." (HR. Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah, An-Nasa'i dan At-Tirmidzi. Ia adalah hadits mauquf menurut At-Tirmidzi).

Pelajaran yang kita dapat dari ayat-ayat tentang puasa.

1. Umat Islam wajib melakukan puasa Ramadhan.

2. Kewajipan bertaqwa kepada Allah dengan melakukan segala perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya.

3. Boleh berbuka di bulan Ramadhan bagi orang sakit dan musafir.

4. Keduanya wajib mengganti puasa sebanyak bilangan hari mereka berbuka, pada hari-hari lain.

5. Firman Allah Ta'ala: “Maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari lain,” adalah dalil wajibnya mengqadha' bagi orang yang berbuka pada bulan Ramadhan kerana udzur, baik sebulan penuh atau kurang, juga merupakan dalil dibolehkannya mengganti hari-hari yang panjang dan panas dengan hari-hari yang pendek dan dingin atau sebaliknya.

6. Tidak diwajibkan berturut-turut dalam mengqadha' puasa Ramadhan, kerana Allah Ta'ala berfirman: “Maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari lain,” tanpa mensyaratkan puasa secara berturut-turut. Maka, dibolehkan berpuasa secara berturut-turut atau secara terpisah- pisah. Dan yang demikian itu lebih memudahkan manusia.

7. Orang yang tidak kuat puasa kerana tua atau sakit yang tidak ada harapan sembuh, wajib baginya membayar fidyah; untuk setiap harinya memberi makan satu orang miskin.

8. Firman Allah Ta'ala: “Dan berpuasa lebih baik bagimu” menunjukkan bahawa melakukan puasa bagi orang yang boleh berbuka adalah lebih utama, selama tidak memberatkan dirinya.

9. Di antara keutamaan Ramadhan adalah, Allah mengistimewakannya dengan menurunkan Al-Qur'an pada bulan tersebut, sebagai petunjuk bagi segenap hamba dan untuk mengeluarkan mereka dari kegelapan menuju cahaya.

10. Bahawa kesulitan menyebabkan datangnya kemudahan. Kerana itu Allah membolehkan berbuka bagi orang sakit dan musafir.

11. Kemudahan dan kelapangan Islam, yang mana ia tidak membebani seseorang di luar kemampuannya.

12. Disyari'atkan mengumandangkan takbir pada malam 'Idul Fitri. Firman Allah Ta'ala: “Dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (mengumandangkan takbir) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu.”

13. Wajib bersyukur kepada Allah atas berbagai kurnia dan taufik-Nya, sehingga boleh menjalankan puasa, shalat dan membaca Al-Qur'anul Karim, dan hal itu dengan mentaati-Nya dan meninggalkan maksiat terhadap-Nya.

14. Anjuran berdo'a, kerana Allah memerintahkannya dan menjamin akan mengabulkannya.

15. Kedekatan Allah dari orang yang berdo'a kepada-Nya berupa dikabulkannya do'a, dan dari orang yang menyembah-Nya berupa pemberian pahala.

16. Wajib memenuhi seruan Allah dengan beriman kepada-Nya dan tunduk mentaati-Nya. Dan yang demikian itu adalah syarat dikabulkannya do'a.

17. Boleh makan dan minum serta melakukan hubungan suami isteri pada malam-malan bulan Ramadhan, sampai terbit fajar, dan haram melakukannya pada siang hari. Waktu puasa adalah dari terbitnya fajar yang kedua, hingga terbenamnya matahari.

“Dihalalkan bagimu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isterimu; mereka itu adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu, dan makan minumlah hinngga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam, (tetapi)janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri'tikaf dalam masjid. Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertaqwa.” (Al-Baqarah:187)

18. Disyari'atkan i'tikaf di masjid-masjid. Yakni diam di masjid untuk melakukan ketaatan kepada Allah dan totalitas ibadah di dalamnya. Ia tidak sah, kecuali dilakukan di dalam masjid yang di situ diselenggarakan shalat lima waktu.

19. Diharamkan bagi orang yang beri'tikaf mencumbu isterinya. Bersenggama merupakan salah satu yang membatalkan i'tikaf.

20. Wajib konsisten dengan mentaati perintah-perintah Allah dan larangan-larangan-Nya. Allah Ta'ala berfirman: “ltulah larangan-larangan Allah maka kamu jangan mendekatinya.”

21. Hikmah dari penjelasan ini adalah terealisasinya taqwa setelah mengetahui dari apa ia harus bertaqwa (menjaga diri).

22. Orang yang makan dalam keadaan ragu-ragu tentang telah terbitnya fajar atau belum adalah sah puasanya, kerana pada asalnya waktu malam masih berlangsung.

23. Disunnahkan makan sahur, sebagaimana disunnahkan mengakhirkan waktunya.

24. Boleh mengakhirkan mandi jinabat hingga terbitnya fajar.

25. Puasa adalah madrasah rohaniyah, untuk melatih dan membiasakan jiwa berlaku sabar. (Lihat kitab Al Ikliil Istinbaathit Tanziil, oleh As-Suyuthi, hlm. 24-28; dan Taisirul Lathifill Mannaan, oleh Ibn Sa'di, hlm. 56-58.).
Boleh juga baca keistemewaan ramadan disini dan juga kesempurnaan puasa disini.

Akhir kata, Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak, semoga kita semua dapat keberkatan dariNya.

Wasalam
ZackJ
http://mestimilik.blogspot.com

28.7.11

Kursus Pertanian Di Taman Seri Jenaris


Peserta sedang membuat latihan praktikal

19.7.11

Remaja Rakan Surau

MOTIVASI REMAJA RAKAN SURAU

SURAU AL-HIDAYAH DENGAN KERJASAMA MKK TAMAN SERI JENARIS AKAN MENGANJURKAN PROGRAM 'MOTIVASI REMAJA RAKAN SURAU'

Penceramah:
Al-Fadzil Ustaz Nawawi Bin Abdullah
(Guru Tahfiz Pondok Tahfiz Pasir Mas Kelantan)

Pada:
19 Julai 2011 / 16 Syaaban 1432H
Selepas Solat Maghrib

Tempat:
Surau Al-Hidayah TSJ

SEMUA REMAJA , MUSLIMIN MUSLIMAT DAN IBU BAPA DI JEMPUT HADIR

'PAKAT MAI, KITA CARI RAHMAT ALLAH SWT'

...................Jamuan istimewa disediakan..............