20.5.09

Dari Akbar Sinar Harian

Riadah bersama pemimpin capai matlamat

TIKAM BATU - Kira-kira 200 penduduk Taman Rhu, Taman Seri Pinang dan Taman Seri Jenaris di sini memeriahkan majlis ramai mesra bersama Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) ketiga-tiga taman berkenaan, Syed Zakaria Othman berkata, hubungan yang erat dan komunikasi yang mesra terjalin pada Program Jom Riadah Bersama Pemimpin anjuran Persatuan Penduduk Taman Seri Jenaris (PPTSJ) bersama dengan MKK Daerah Kuala Muda yang diadakan di Taman Seri Jenaris, Sabtu lalu.

Menurutnya, kemesraan itu lebih terserlah apabila Johari sendiri mengamalkan sikap mesra rakyat sekali gus menghapuskan jurang antara seorang pemimpin dan penduduk.

“Secara tidak langsung matlamat program ini yang ingin merapatkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat tercapai.

“Apa yang tidak diduga ialah kesudian beliau untuk turun padang meninjau gotong-royong memasak jamuan kampung, malah turut menumis bawang sebagai tanda memulakan masakan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Selain Johari, hadir sama ialah wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh dan Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Fishol Hashim.

Syed Zakaria berkata, Johari juga diberikan kesempatan untuk melepaskan seramai 100 peserta mendaki Bukit Jenaris yang terletak di belakang taman perumahan terbabit.

Katanya, selain acara pendakian bukit terbabit, pelbagai acara lain turut diadakan seawal jam 8 pagi sehingga 1 petang seperti cabutan bertuah, senaman harimau sebelum program itu diakhiri dengan jamuan kampung.

Sementara itu, Johari berkata, program yang dianjurkan dengan inisiatif PPTSJ dan MKK ini adalah satu program yang amat bagus dan perlu diteruskan di lain-lain masa.

“Saya berharap pihak MKK di kawasan lain dapat menjadikan program ini sebagai contoh untuk dianjurkan pada masa depan di kawasan kediaman mereka kerana program ini secara tidak langsung memberikan ruang kepada pemimpin untuk bertemu rakyat.

“Ucapan terima kasih saya sampaikan kepada jawatankuasa penganjur yang julung kali menjayakan program seperti ini di sini dan saya berharap matlamat penganjuran program ini dapat dicapai,” katanya.

1 comment:

Unknown said...

wah masuk akhbar, dasyat taman jenaris ni